Imbuhan Arab-Parsi

 


Apakah itu Imbuhan Arab-Parsi?🤔

Penambahan imbuhan Arab-Parsi dalam pembentukan kata bahasa Melayu adalah fenomena linguistik yang penting dalam perkembangan bahasa ini dan telah memberikan pengaruh yang besar. Imbuhan Arab-Parsi merujuk kepada imbuhan atau akar kata yang dipinjam daripada bahasa Arab dan Parsi, yang secara tradisional banyak dipengaruhi oleh agama Islam dan budaya Persia. Terdapat beberapa faktor yang mendorong penggunaan imbuhan Arab-Parsi dalam bahasa Melayu. Menurut Faridah Nazir et al. (2024), kedatangan Islam yang membawa bersamanya bahasa Al-Qur’an iaitu perkataan arab telah diterima pakai dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan bentuk asalnya. Namun, terdapat sebahagian lagi daripada perkataan tersebut mengalami perubahan bentuk agar sesuai dengan sebutan Melayu yang dipanggil proses pembentukan kata. Proses perubahan bentuk ini adalah biasa dalam penerimaan perbendaharaan kata asing dan dapat melibatkan perubahan ejaan, bunyi, dan aspek lainnya (Mohd Alwee Yusoff & Mohamad Azrien Mohamed Adnan, 2009). Sama seperti imbuhan daripada bahasa Sanskrit, penyerapan unsur imbuhan Arab-Parsi ke dalam bahasa Melayu juga terhad dan terdiri daripada imbuhan awalan dan imbuhan akhiran.





JOM KENAL PASTI KESALAHAN IMBUHAN ARAB-PARSI!🤗

Kesalahan Imbuhan Arab-Parsi dalam Media Cetak📖





(Sumber: Buku Pedoman Dzikir dan Do'a)
❎shalihien
✅solihin

Berdasarkan keratan buku tersebut, kesalahan imbuhan yang dapat dilihat ialah 'shalihien'. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut Faridah Nazir et al. (2024) imbuhan akhiran '-in' merujuk kepada lelaki. Dalam konteks ini, kata dasar bagi perkataan ini ialah 'solih' dan imbuhan yang ditambahkan ialah '-in'. Maka, perkataan yang betul ialah 'solihin'. Secara etimologi, imbuhan 'in' ini dipinjam dari bahasa Arab yang membentuk kata benda jamak yang merujuk kepada orang yang mempunyai sifat tertentu. Hal ini turut dijelaskan dalam Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat yang mengatakan bahawa makna daripada perkataan 'solihin' ialah jamak bagi orang yang soleh. Ini merujuk kepada individu yang memperlihatkan kebaikan dalam perlakuan mereka dan dianggap sebagai teladan masyarakat kerana sikapnya yang bermoral.



Kesalahan Imbuhan Arab-Parsi dalam Media Elektronik🌐

❎jahiliyah
✅jahiliah


Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan imbuhan perkataan yang dijumpai ialah ‘jahiliyah’. Dalam konteks ini, kata dasar bagi perkataan tersebut ialah ‘jahil’ dan imbuhan yang betul ialah ‘-iah’. Maka, perkataan yang betul ialah  ‘jahiliah’. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan akhiran ‘-iah’ digunakan bagi membentuk kata adjektif   yang membawa makna sifat atau ciri yang terkandung dalam kata dasar. Imbuhan '-iah' dalam perkataan ‘jahiliah’ menegaskan kembali konsep zaman pra-Islam yang dianggap sebagai zaman kegelapan dan ketidaktahuan dalam sejarah Arab. Perkataan ini juga sering digunakan untuk merujuk kepada keadaan atau amalan yang dianggap tidak bermoral atau tidak beradab dalam masyarakat moden, memberikan peringatan akan pentingnya panduan dan pengetahuan dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.



❎ dunia-wi
✅duniawi

Berdasarkan tangkap layar  di atas, kesalahan yang dijumpai ialah ‘dunia-wi’. Dalam konteks ini, kata dasar dan imbuhan pinjaman yang digunakan adalah betul namun penggunaan tanda sempang ‘-‘ di antara ‘dunia’ dan ‘wi’ adalah salah. Hal ini dikatakan demikian kerana, perkataan ‘dunia-wi’ tidak mengikuti aturan morfologi Bahasa Melayu yang betul. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan akhiran ‘-wi’ digunakan secara terbatas untuk menimbulkan bentuk kata adjektif, iaitu mencirikan sifat yang terkandung dalam kata dasar. Selain itu, imbuhan ‘-wi’ hanya digunakan apabila kat dasar berakhir dengan huruf vokal. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, duniawi membawa maksud keduniaan.





❎ akhir-at
✅akhirat

Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan perkataan yang dijumpai ialah ‘akhir-at’. Hal ini dikatakan demikian kerana penambahan tanda sempang ‘-‘ tidak mengikut aturan morfologi yang betul. Perkataan yang betul ialah ‘akhirat’. Maksud akhirat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat ialah alam yang kekal selepas mati.




❎ilmi-ah
✅ilmiah

Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan perkataan yang dijumpai ialah ‘ilmi-ah’. Perkataan ini salah kerana tidak mengikut aturan morfologi yang betul. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan akhiran ‘-iah’ digunakan bagi membentuk kata adjektif yang membawa makna sifat atau ciri yang terkandung dalam kata dasar. Dalam konteks ini, kata dasar bagi perkataan ini ialah ‘ilmu’ manakala imbuhan pinjaman bagi perkataan ini ialah ‘-iah’. Maka, perkataan yang betul ialah ‘ilmiah’. ‘Ilmiah’ kebiasaannya digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang berlandaskan ilmu pengetahuan, kajian sains, atau berdasarkan kaedah dan prinsip sains.


Klik di sini untuk pergi ke halaman Imbuhan Yunani-Latin-Inggeris

Klik di sini untuk pergi ke halaman Imbuhan Sanskrit

Klik di sini untuk kembali ke Halaman Utama


No comments:

Post a Comment