Imbuhan Sanskrit

   


Apakah itu imbuhan daripada bahasa sanskrit?🤔

Imbuhan dari bahasa Sanskrit telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit, sebagai bahasa klasik India yang kaya dengan terminologi keagamaan, sains, dan falsafah, telah memberikan banyak istilah dan imbuhan yang digunakan dalam bahasa Melayu. Menurut Zurina Abdullah & Adi Yasran Abdul Aziz (2020), Bahasa Melayu kuno dipercayai dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan agama Hindu yang kuat. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh bahasa Sanskrit ke atas bahasa Melayu telah berlaku sejak zaman bahasa Melayu kuno, iaitu sekitar abad ke-7 hingga abad ke-13. Sebenarnya, bahasa Sanskrit ini sampai ke Tanah Melayu kerana kedatangan pedagang India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu dan kedatangan sami atau pendeta agama Hindu dan Buddha untuk meluaskan pengaruh agama mereka kepada penduduk tempatan. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan Sanskrit yang digunakan dalam bahasa Melayu terbahagi kepada dua iaitu awalan dan akhiran.







JOM KENAL PASTI KESALAHAN IMBUHAN SANSKRIT! 🤗

Kesalahan Imbuhan Sanskrit dalam Media Cetak🕮



(Sumber: Keratan akhbar New Sabah Times pada 20/8/2018)

❎pra-universiti
✅prauniversiti

Berdasarkan keratan akhbar tersebut, ‘pra-universiti’ adalah contoh kesalahan imbuhan pinjaman Sanskrit yang terjadi dalam Bahasa Melayu. Dalam konteks ini, ‘pra’ merupakan imbuhan awalan manakala ‘universiti’ merupakan kata dasar bagi perkataan ini. Walaupun imbuhan ‘pra’ memberi makna yang tepat, namun penggunaan tanda sempang (-) sebelum kata dasar tersebut adalah salah. Hal ini kerana menurut Nik Safiah Karim (dalam Muhammad Faizul Abd Hamid et al., 2022), tanda sempang (-) hanya perlu berada di antara imbuhan dengan kata yang huruf awalnya berhuruf besar atau kata nama khas. Oleh itu, dalam penulisan bahasa Melayu, perkataan majmuk seperti ‘prauniversiti’ ditulis tanpa tanda sempang untuk mengekalkan kesatuan makna dan struktur perkataan tersebut. 


(Sumber: Keratan akhbar New Sabah Times pada 30/7/2017)

❎pra sekolah
✅prasekolah

Berdasarkan keratan akhbar di atas, terdapat kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman bahasa Sanskrit yang terjadi dalam bahasa Melayu. Dalam konteks ini, ‘pra’ merupakan imbuhan awalan manakala ‘sekolah’ merupakan kata dasar. Perkataan ‘prasekolah’ tidak perlu disenggangkan kerana ia merupakan satu perkataan majmuk yang terdiri daripada dua perkataan yang digabungkan tanpa perlu dipisahkan oleh tanda sempang. 



Kesalahan Imbuhan Sanskrit dalam Media Elektronik🌐


❎ Dwi-bahasa
✅dwibahasa

Berdasarkan tangkap layar dari aplikasi X di atas, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman Sanskrit yang dijumpai ialah ‘dwi-bahasa’. Dalam konteks ini, imbuhan awalan ‘dwi’ tidak sepatutnya diletakkan tanda sempang (-) selepasnya untuk digabungkan imbuhan tersebut dengan kata dasar. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), dwi ialah bentuk imbuhan yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian bilangan iaitu dua. Oleh itu, ‘dwibahasa’ adalah bentuk yang betul dan lebih tepat digunakan dalam penulisan Bahasa Melayu yang formal untuk merujuk kepada keadaan atau kemampuan untuk menggunakan dua bahasa secara fasih atau kemahiran dalam dua bahasa.



❎swa-foto
✅swafoto

Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman yang dijumpai ialah ‘swa-foto’. Dalam konteks ini, imbuhn awalan ‘swa’ tidak sepatutnya diletakkan tanda sempang (-) selepasnya untuk digabungkan imbuhan tersebut dengan kata dasar ‘foto’. Oleh itu, perkataan yang betul ialah ‘swafoto’. Ini adalah gabungan dua perkataan, iaitu ‘swa’ yang bererti sendiri menurut Nik Safiah Karim et al., (2015) dan ‘foto’ yang merujuk kepada imej yang diambil.





❎tata-tertib
✅tatatertib

Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman yang dijumpai ialah ‘tata-tertib’. ‘Tata-tertib’ dianggap salah manakala ‘tatatertib’ dianggap betul kerana dalam bahasa Melayu, imbuhan ‘tata-‘ sepatutnya digabungkan dengan kata asalnya tanpa tanda sempang (-). Jadi, perkataan yang betul ialah ‘tatatertib’. Menurut Faridah Nazir et al. (2024), tata membawa maksud peraturan atau susunan. Oleh itu, perkataan ‘tatatertib’ merujuk kepada aturan atau susunan yang konsisten dan teratur dalam mengatur atau menjalankan sesuatu.

(Sumber: https://www.facebook.com/100000219738386/posts/8051641524853092/?mibextid=rS40aB7S9Ucbxw6v)
❎pasca banjir
✅pascabanjir

Berdasarkan tangkap layar hantara daripada pengguna facebook di atas, terdapat satu kesalahan umum yang sering dilakukan oleh pengguna alam maya iaitu ‘pasca banjir’. Dalam konteks ini, perkataan ‘pascabanjir’ mesti dieja dekat tanpa tanda hubung kerana ia merupakan satu perkataan majmuk yang terdiri daripada dua perkataan yang digabungkan tanpa perlu dipisahkan oleh tanda hubung. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan awalan ‘pasca’ ialah bentuk imbuhan yang menerbitkan kata nama yang membawa maksud ‘sesudah’. Oleh itu, pascabanjir merujuk kepada keadaan selepas berlakunya banjir









No comments:

Post a Comment