Imbuhan Yunani-Latin-Inggeris

 



Apakah itu imbuhan Yunani-Latin-Inggeris?🤔

Penambahan imbuhan Yunani-Latin-Inggeris dalam pembentukan kata bahasa Melayu adalah satu proses yang menunjukkan pengaruh globalisasi dan perkembangan ilmu pengetahuan serta teknologi. Imbuhan ini merujuk kepada imbuhan atau akar kata yang dipinjam daripada bahasa Yunani, Latin, dan Inggeris yang sering digunakan dalam bidang sains, perubatan, teknologi, serta kebudayaan kontemporari. Pada abad ke-18, pengaruh bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu mula bertapak di Pulau Pinang sekitar tahun 1786. Faktor-faktor yang menyebabkan bahasa Inggeris mula berpengaruh terhadap bahasa Melayu termasuklah kerana dasar pihak pemerintah Inggeris yang sering mengutamakan bahasa Inggeris. Bukan sahaja itu, bahasa Inggeris juga menjadi bahasa rasmi pemerintahan Inggeris, pendiidkan bahasa Inggeris yang meningkatkan penutur bahasa Inggeris dalam kalangan orang Melayu, dan bahasa Inggeris yang berperanan sebagai bahasa antarabangsa. Akhir sekali, terdapat perancangan supaya bahasa Melayu menyerap bahasa Inggeris unttuk membina bahasa moden. Hal ini turut ditegaskan oleh Abbas Shariff (1986) bahawa peminjaman perkataan atau istilah daripada bahasa Inggeris telah menjadi satu keperluan telah menjadi suatu keperluan terutamanya dalam konteks pendidikan.




JOM KENAL PASTI KESALAHAN IMBUHAN YUNANI-LATIN-INGGERIS! 🤗


KESALAHAN DALAM MEDIA CETAK📖

(Sumber: Berita Harian 14 September 2019)
❎Anti Dadah
✅Antidadah

Berdasarkan keratan akhbar di atas, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman yang dijumpai ialah ‘Anti Dadah’. Hal ini dikatakan salah kerana menurut Abdul Ghalib Yunus (2012), perkataan ‘antidadah’ hendaklah dieja rapat kerana imbuhan awalan ‘anti’ merupakan imbuhan awalan asing yang digabungkan dengan kata nama am iaitu ‘dadah’. Oleh itu, perkataan yang betul ialah ‘antidadah’ yangmerujuk kepada usaha untuk menentang dadah atau menangani isu dadah.


(Sumber: Majalah iSIHAT)
❎anti oksida
✅antioksida

Berdasarkan keratan majalah tersebut, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman yang dijumpai ialah ‘anti oksida’. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan awalan ‘anti-‘ digunakan untuk menunjukkan tanda melawan, membantah, menentang atau tidak bersetuju. Dalam konteks ini, ‘anti’ dan ‘oksida’ mestilah dieja rapat kerana oksida merupakan kata nama am. Oleh itu, perkataan yang betul ialah ‘antioksida’ yang merujuk kepada sebatian yang mencegah atau melambatkan tindakan oksidasi dalam kimia atau dalam tubuh manusia.



KESALAHAN DALAM MEDIA ELEKTRONIK🌐

❎sub topik
✅subtopik

Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman yang dijumpai ialah ‘sub topik’. Hal ini dikatakan demikian kerana, ejaan ‘subtopik’ mesti didekatkan kerana merupakan satu perkataan majmuk yang terdiri daripada dua perkataan yang digabungkan tanpa perlu dipisahkan oleh tanda hubung. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan awalan ‘sub-‘ memberi makna sebahagian daripada keseluruhan. Oleh itu, ejaan yang betul ialah ‘subtopik’ yang merujuk kepada topik-topik lebih kecil atau lebih terperinci yang berkaitan dengan topik utama.


❎poli klinik
✅poliklinik

Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman yang dijumpai ialah ‘poli klinik’. Hal ini dikatakan demikian kerana ejaan yang betul ialah ‘poliklinik’ tanpa perlu menjarakkan imbuhan awalan ‘poli-‘ dengan ‘klinik’. Ini adalah untuk mengekalkan kesatuan makna dan struktur perkataan tersebut. Nik Safiah Karim et al. (2015) menyatakan bahawa imbuhan awalan ‘poli-‘ memberi pengertian banyak. Oleh itu, poliklinik merujuk kepada  pusat rawatan perubatan yang menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan perubatan tanpa perlu dirujuk kepada hospital.





❎pro-kerajaan
✅prokerajaan

Berdasarkan tangkap layar hantaran pengguna aplikasi X, didapati adanya kesalahan penggunaan imbuhan Yunani-Latin-Inggeris yang dilakukan iaitu ‘pro-kerajaan’. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan merupakan kata nama am yang digabungkan bersama imbuhan awalan ‘pro’. Oleh itu, ejaannya yang betul mestilah dirapatkan antara imbuhan awalan ‘pro-‘ dan ‘kerajaan’ tanpa perlu meletakkan tanda sempang atau sebagainya. Namun begitu, sekiranya perkataan selepas ‘pro-‘ merupakan kata nama khas maka penggunaan tanda sempang (-) adalah perlu selepas perkataan ‘pro-‘ misalnya Pro- Israel. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan awalan ‘pro-‘ digunakan untuk tanda bersetuju, memihak atau menyebelahi sesuatu pihak. Oleh itu, penggunaan ‘pro-‘ dalam perkataan ini menunjukkan bahawa sesuatu itu berpihak kepada atau menyokong kerajaan.





No comments:

Post a Comment