Mar 17, 2024

Isu Kesalahan Kata Berdasarkan Pembentukan Perkataan daripada Imbuhan Bahasa Asing

 







PENGENALAN😀

Pembentukan kata daripada imbuhan bahasa asing adalah satu fenomena linguistik yang berlaku dalam proses perkembangan bahasa. Ini disebabkan oleh beberapa faktor yang mendorong penggunaan imbuhan. Menurut Mohamad Nortaufiq Nor Hashim et al. (2022), Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan daripada bahasa asing seperti bahasa Sanskrit, Parsi, Arab, Hindi, Tamil dan lain-lain. Dalam konteks ini, bahasa adalah entiti yang hidup dan sentiasa berubah mengikut keperluan dan interaksi komunikasi masyarakat. Apabila masyarakat berinteraksi dengan budaya dan bahasa-bahasa asing melalui perdagangan, teknologi, atau interaksi sosial, terdapat aliran perkataan dan konsep yang masuk ke dalam bahasa tempatan. Imbuhan bahasa asing seperti awalan, akhiran, atau gabungan suku kata, kemudian digunakan untuk membentuk kata-kata baru dalam bahasa tersebut. Hal ini turut dijelaskan oleh Nik Safiah Karim et al. (2015) yang menyatakan bahawa proses ini berlaku melalui peminjaman unsur-unsur imbuhan bahasa asing yang dimasukkan sepenuhnya bagi mengekalkan bentuk asalnya atau diubah suai berdasarkan sistem tatabahasa Melayu. Sebenarnya pada era ini, peminjaman kata dan bahasa asing menjadi lebih biasa sebagai cara untuk mengakomodasi perkembangan ilmu pengetahuan, teknologi, dan budaya yang beragam. Namun begitu, kurangnya pendedahan tentang penggunaan imbuhan asing ini telah mendorong kepada berlakunya kesalahan penggunaan kata oleh masyarakat dalam media cetak dan media elektronik hari ini.


Apakah itu imbuhan asing daripada bahasa Sanskrit?🤔

Imbuhan dari bahasa Sanskrit telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit, sebagai bahasa klasik India yang kaya dengan terminologi keagamaan, sains, dan falsafah, telah memberikan banyak istilah dan imbuhan yang digunakan dalam bahasa Melayu. Menurut Zurina Abdullah & Adi Yasran Abdul Aziz (2020), Bahasa Melayu kuno dipercayai dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan agama Hindu yang kuat. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh bahasa Sanskrit ke atas bahasa Melayu telah berlaku sejak zaman bahasa Melayu kuno, iaitu sekitar abad ke-7 hingga abad ke-13. Sebenarnya, bahasa Sanskrit ini sampai ke Tanah Melayu kerana kedatangan pedagang India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu dan kedatangan sami atau pendeta agama Hindu dan Buddha untuk meluaskan pengaruh agama mereka kepada penduduk tempatan. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan Sanskrit yang digunakan dalam bahasa Melayu terbahagi kepada dua iaitu awalan dan akhiran.

Klik di sini untuk melihat penerangan lanjut berkenaan Imbuhan Sanskrit


Apakah itu Imbuhan Arab-Parsi?🤔

Penambahan imbuhan Arab-Parsi dalam pembentukan kata bahasa Melayu adalah fenomena linguistik yang penting dalam perkembangan bahasa ini dan telah memberikan pengaruh yang besar. Imbuhan Arab-Parsi merujuk kepada imbuhan atau akar kata yang dipinjam daripada bahasa Arab dan Parsi, yang secara tradisional banyak dipengaruhi oleh agama Islam dan budaya Persia. Terdapat beberapa faktor yang mendorong penggunaan imbuhan Arab-Parsi dalam bahasa Melayu. Menurut Faridah Nazir et al. (2024), kedatangan Islam yang membawa bersamanya bahasa Al-Qur’an iaitu perkataan arab telah diterima pakai dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan bentuk asalnya. Namun, terdapat sebahagian lagi daripada perkataan tersebut mengalami perubahan bentuk agar sesuai dengan sebutan Melayu yang dipanggil proses pembentukan kata. Proses perubahan bentuk ini adalah biasa dalam penerimaan perbendaharaan kata asing dan dapat melibatkan perubahan ejaan, bunyi, dan aspek lainnya (Mohd Alwee Yusoff & Mohamad Azrien Mohamed Adnan, 2009). Sama seperti imbuhan daripada bahasa Sanskrit, penyerapan unsur imbuhan Arab-Parsi ke dalam bahasa Melayu juga terhad dan terdiri daripada imbuhan awalan dan imbuhan akhiran.

 Klik di sini untuk melihat penerangan lanjut berkenaan Imbuhan Arab-Parsi


Apakah itu Imbuhan Yunani-Latin-Inggeris?🤔

Penambahan imbuhan Yunani-Latin-Inggeris dalam pembentukan kata bahasa Melayu adalah satu proses yang menunjukkan pengaruh globalisasi dan perkembangan ilmu pengetahuan serta teknologi. Imbuhan ini merujuk kepada imbuhan atau akar kata yang dipinjam daripada bahasa Yunani, Latin, dan Inggeris yang sering digunakan dalam bidang sains, perubatan, teknologi, serta kebudayaan kontemporari. Pada abad ke-18, pengaruh bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu mula bertapak di Pulau Pinang sekitar tahun 1786. Faktor-faktor yang menyebabkan bahasa Inggeris mula berpengaruh terhadap bahasa Melayu termasuklah kerana dasar pihak pemerintah Inggeris yang sering mengutamakan bahasa Inggeris. Bukan sahaja itu, bahasa Inggeris juga menjadi bahasa rasmi pemerintahan Inggeris, pendiidkan bahasa Inggeris yang meningkatkan penutur bahasa Inggeris dalam kalangan orang Melayu, dan bahasa Inggeris yang berperanan sebagai bahasa antarabangsa. Akhir sekali, terdapat perancangan supaya bahasa Melayu menyerap bahasa Inggeris unttuk membina bahasa moden. Hal ini turut ditegaskan oleh Abbas Shariff (1986) bahawa peminjaman perkataan atau istilah daripada bahasa Inggeris telah menjadi satu keperluan telah menjadi suatu keperluan terutamanya dalam konteks pendidikan. 

Klik di sini untuk melihat penerangan lanjut berkenaan Imbuhan Yunani-Latin-Inggeris


Video Penerangan berkenaan Kesalahan Perkataan dalam Imbuhan Asing 💁🏻‍♀️


Penerangan lebih lanjut berkenaan kesalahan perkataan ini boleh dilihat di dalam pautan yang disediakan di bawah ini.








RUMUSAN😀

Intihanya, penggunaan imbuhan asing dalam Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam membentuk perkataan yang tepat dan padu dalam komunikasi. Walaupun terdapat banyak kesalahan yang dijumpai dalam media cetak dan media elektronik, penting untuk masyarakat menyedari kesan negatif yang mungkin timbul akibat penggunaan imbuhan yang tidak tepat. Imbuhan asing yang betul membantu memperkukuhkan struktur bahasa dan memudahkan pemahaman komunikasi dalam kalangan penutur Bahasa Melayu. Dengan kesedaran akan pentingnya penggunaan imbuhan asing yang betul, diharapkan masyarakat akan mula menitikberatkan perhatian terhadap kepelbagaian imbuhan dan memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam tentang aspek morfologi Bahasa Melayu. Semakin banyak kesedaran yang disebarkan, semakin tinggi kesedaran masyarakat tentang pentingnya penggunaan imbuhan asing yang betul dalam Bahasa Melayu sekali gus akan membantu memperkukuhkan lagi kecemerlangan dalam penggunaan bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu.


RUJUKAN💁🏻‍♀️
















No comments:

Post a Comment